Saturday, May 9, 2009

ibu..bidadari syurga, ayah pemilik hatiku..


salam perjuangan sahabat-sahabatku..

dah lama, terlalu lama saya ingin menulis tentang cerita ini..keadaaan masa dan kesibukan waktu sangat tidak mengizinkan. Moga Allah beri kemudahan bagi saya untuk saya terus istiqamah.

24.4.09- genap setahun raja hati saya meninggalkan saya. Lelaki yang paling saya cintai, satu-satunya lelaki yang berada dalam hati saya selama 26 tahun ini. Saya rindu akan ciumannya, pelukannya..yang dulu saya cukup segan dilayannya seperti seorang budak kecil.Rindunya pada insan ini hanya Allah yang tahu, insan yang membuatkan saya menghormati setiap insan yang bernama ayah. Dialah Nordin bin Jusoh, ayah yang telah membesarkan saya selama ini. Tanpa dia, saya tidak mampu untuk berada di sini apatah lagi bergelar seorang doktor kini..

24.4.09-lewat jam 7, dalam kesibukan meredah waktu-saya di sisinya kembali-pusara ayahanda di bawah pohon mangga yang redup.Saya menangis bersungguh-sungguh-seperti mana hari pertama ayah pergi dari dunia ini.Hati ini cukup sayu, jiwa ini hanya Allah yang tahu keadaannya,merelakan dalam redha dan sendu. Saya TERAMAT-AMAT rindu untuk memeluknya seperti dulu, terutama ketika ayah terbaring di katil hospital. Saya akan baring dan memeluknya, bermanja dengannya seolah-olah ingin ayah sihat dan memanjakan saya seperti selalu, ketika ayah sihat..

24.4.08-hari pertama saya exam -PROFESIONAL 3, exam terakhir yang menentukan saya sebagai doktor atau tidak. Petang itu, hujan renyai-renyai. Suasana di luar sangat mendung, memangil-manggil untuk tidur...setelah penat berjuang memerah otak pada hari pertama exam, yang mana CUKUP BANYAK MEHNAH DAN TRIBULASI yang telah saya lalui , telah banyak air mata ini mengalir kerananya..

petang itu..saya menerima panggilan dari kak nana-sepupu mak;

"mas, ayah tenat..doktor tengah selamatkan dia.."

"mas, ayah dah tak lama lagi ni ..bersiaplah untuk pulang.."

ketika itu saya tenang lagi, air mata ini mula mengalir..dalam usaha mencari tiket pulang...

"adik, ayah dah takda..."abang mat menangis dalam telefon..

saya menangis..hanya Allah yang tahu.

Ayah pergi selepas maghrib malam jumaat itu..

Sampai di rumah, saya masih tenang.

Melihat tubuh ayah kaku.

Tenang lagi.

Membaca yaasin dan surah-surah al-Quran.

Tenang lagi.

Saya pandang ayah puas-puas. Baring di sebelah ayah dan memeluknya seolah-olah tidak mahu melepaskannya. Pelukan terakhir.Tapi, pelukan ini tak sama seperti mana ayah hidup dulu..Tubuhya kaku tak sehangat dulu...

Saat itu saya menangis dan menangis....kerana saya tahu saya tidak dapat memeluknya lagi!

Ayah,
mas rindu sangat.
rindu untuk memelukmu seperti selalu
rindu untuk mencium pipimu
rindu untuk mendengar bebelanmu
rindu untuk bermanja denganmu

ayah,
anakmu ini terlalu mencintaimu
terlalu sayang padamu
terlalu..

tiada ayah kedua dan ketiga
hanya kau satu-satunya dunia dan akhirat
bila kau pergi
hialng tak berganti
dan aku kini yatim tak berbapa

ketahuilah,
anakmu ini terlalu merinduimu..


Genap 2 minggu saya di wad geriatrik-wad khas untuk orang-orang tua. Tersenyum sendirian, mengingatkan seluar pakcik H ketika mila dan fizah(student nurse post basic) membantunya berjalan. Kami suka mengusiknya.Pakcik H macam budak-budak. Kadang-kadang buat-buat merajuk. Refused to talk. Buat-buat tutup mata. Kadang-kadang pura-pura tidur. Pakcik H malas dan kuat makan.Gaya dia membuatkan saya teringat pada arwah nenek. Rindu pada nenek.

Sepanjang saya bertugas, setiap kali melihat pesakit lelaki yang tua atau sebaya ayah, ingatan saya terus pada arwah ayah.Rindu untuk memeluk ayah datang lagi.Teringat saat saya baring di sisi ayah dan memeluknya setiap kali ayah terlantar di hospital.Rindu.

Saya agak terkilan dengan sebilangan anak-anak pesakit tua yang saya temui. Kebanyakan mereka tinggal sendirian. Begitu juga pakcik H.Paling kurang, orang gaji ada di sisi.Kebanyakan anak-anak suka ibu bapa mereka berada di hospital.Seolah-olah hospital adalah nursing home untuk mereka. Tak kurang yang membuat pelbagai alasan dan kerenah supaya ibu/ bapa mereka terus berada di hospital setiap kali pesakit dibolehkan untuk pulang..Pernah saya terlihat seorang anak memaksa ayah mereka makan guna mulut berbanding ryle's tube(tiub salur makan dari hidung)-supaya di rumah mereka tidak perlu menjaga ayah mereka; untuk memberi susu setiap 3 jam mll ryle's tube ini.Ah, sayunya hati melihat..

Minggu ini saya berhadapan dengan kisah yang sama..kisah anak-anak yang meninggalkan ibu di rumah dengan orang gaji. Pesanan anak pada orang gaji- kalu ada apa-apa masalah, call ambulans. Tinggallah si ibu yang cacat (sebelah kaki potong akibat kencing manis)dengan orang gaji..datang dengan ambulans, pulang dengan teksi.Anak-anak tidak pernah datang melawat walau paling jauh hanya tinggal di KL.

Makcik R, seorang pesakit yang saya jaga mempunyai 7 orang anak.Makcik R hanya mampu terbaring, kedua kakinya membengkak dan luka akibat kencing manis.Keadaan buah pinggang makcik R semakin merosot, kemungkinan memerlukan dialisis. Saya cuba hubungi anak-anak makcik R untuk berbincang tentang ini. Sukarnya, untung ada anak sulung. Hanya dia yang sanggup datang walau anak-anak paling jauh hanya di Kuala Pilah! Yang lain?

Makcik R tinggal keseorangan di hospital. Sepanjang saya merawatnya,tidak pernah melihat anak-anak datang melawat.Sejak semalam makcik R sedih.Tak sampai hati saya melihatnya.

" Makcik,anak makcik masa kecil-kecil dulu siapa yang jaga? "
-saya bertanya kerana mungkin anak -anak makcik R tidak tinggal bersama ibunya sebelum ini yang menyebabkan hubungan mereka tidak rapat.

" Anak-anak makcik, makciklah yang jaga dan besarkan diorang."

Sedihnya hati saya apatah lagi makcik R pesara kerajaan yang bekerja sebagai tukang sapu!

Allahuakhbar..

Berapa ramai yang sanggup menyuapkan ibunya....
berapa ramai yang sanggup mencuci muntah ibunya.....
berapa ramai yang sanggup mengantikan lampin ibunya......
berapa ramai yang sanggup membersihkan najis ibunya.......
berapa ramai yang sanggup membuang ulat dan membersihkan luka kudis ibunya....
berapa ramai yang sanggup berhenti kerja untuk menjaga ibunya?

Ketahuilah,
ibu bidadari syurgamu..
bila dia pergi...
kau tidak beribu..
tidak siapa dapat menggantikan ibumu,
kerana hanya akan ada SATU IBU dalam hidupmu.
Hargailah ibu.

Ya Allah,
jadikanlah aku anak yang solehah
yang sentiasa mengingati ibu dan ayahku dalam doaku
yang sentiasa bersama mereka
yang menghiburkan hati mereka
yang menyejukkan hati mereka

dan,
kurniakanlah aku anak-anak yang soleh dan solehah
yang menjadi penyejuk mata dan pandangan hatiku
yang menjadi bekalan untukku di akhirat kelak.

amin Ya Rabb.


No comments:

Post a Comment