Saturday, August 14, 2010

Allah pasti bersama di atas setiap sesuatu..



Salam ramadhan buat diri dan semua..

Alhamdulillah, Allah memilih diri ini untuk berkesempatan bertemu dengan Ramadhan kali ini sekali lagi, yang pasti dengan pengharapan yang lebih baik dari sebelumnya-AMIN.

Alhamdulillah, bermula dari Rejab dan Syaban, Allah membantu dan memberi hidayah pada hati ini untuk memberi permulaan yang baik pada Ramadhan kali ini, AMIN..

Alhamdulilah di atas segala perancangan Allah yang mengandungi tersangat banyak hikmah yang tersirat yang tak terungkai-syukur Ya Allah..

..............................................

Sungguh, tidak tahu mahu menulis apa.Saya cuba untuk menulis.Menulis itu sangat menenangkan terutama apabila hati sedang tenang dalam mengingatinya.Menulis bukan untuk untuk memberitahu, tapi sekadar atas dasar MAHU.

Sudah sebulan saya bekerja di Hospital Tampin.Sebulan juga merasai pengalaman bekerja sebagai pegawai perubatan yang baru.Hanya Allah tempat saya berlindung atas semua perkara.

Apabils memikirkan kekurangan, memang sangat banyak rasanya ingin kita senaraikan,kadang rasa tidak tersanggup lagi.Tapi, dalam merasai kekuranga dan 'penderitaan'; ada nikmat (yang mana mungkin orang lain tidak merasainya seperti mana kita rasa) yang Allah berikan pada diri tanpa sedar. Pasti ada sebab di atas sesuatu perancanganNYA.


Alhamdulillah;

Nikmat yang Allah berikan pada saya bermula dari saya bekerja di sini sangat banyak.Antaranya;

-Duduk dengan ibu, dapat berbakti dengan ibu tercinta
-Jarak rumah yang sangat dekat dengan tempat kerja; kurang 5 minit perjalanan
-Jarak rumah yang sangat dekat dengan masjid; kurang 5 minit dari rumah
-Ibu penenang hati, menyambut di pintu setiap kali pulang ke rumah
-Dapt mencium tangan ibu dan mohon doa ibu sebelum bertolak memulakan pekerjaan
-Dapat menunaikan subuh berjemaah
-Dapat menunaikan solat dhuha
-Dapat membaca zikir mathurat secara konsisten
-Dapat mengaji dan mengulangkaji Al-Quran setengah jam setiap pagi
-Senang bangun awal pagi dan menunaikan solat tahajud

dan lain-lain lagi yang saya tidak dapat lakukan sewaktu bekerja di seremban dahulu.

Alhamdulillah...

Secara positifnya., bekerja di tempat sendiri dapat merapatkan lagi ukhwah dengan orang sekeliling.Jiran, saudara, sahabat yang mungkin sebelum ini tidak bekesempatan mengenali dengan lebih dekat.

Positif atas segala pemberiannya..

Syukur, Allah tempatkan saya di hopital kerana banyak yang saya dapat pelajari di sini.Mungkin lebih banyak dan lebih baik daripada saya diletakkan di Klinik Kesihatan.Ilmu, keyakinan, keberanian dan tanggungjawab yang diperoleh di sini sangat banyak dan masih banyak yang perlu saya pelajari.Mudahan, Allah membantu dan meudahkan segala urusan.

Allah pasti bersama atas setiap sesuatu..

Friday, July 9, 2010

Istikarah penguat diri..





"Tidak akan menyesal seseorang yang beristikarah dan bermesyuarah"

Istikarah-sebuah 'pertanyaan'ku pada Allah; memohon petunjuk untuk HIDUP..

......................

Hospital Tampin.

Saat mengetahuinya hati rasa tidak gelisah, ada perasaan yang 'senang' di situ.Terasa ada sesuatu kebaikan disebaliknya.

Perancangannya, saya ingin menempatkan diri ke klinik kesihatan-setelah istikarah yang panjang..Antara 4;

1.Memohon untuk tinggal di Hospital Seremban dengan memohon ke Jabatan Patologi.
2.Menyambung pelajaran ke peringkat sarjana muda-'master' dalam program SLAB(Skim Latihan Bumiputera)sebagai pensyarah pelatih di universiti tempatan setelah tamat latihan 'housemanship'.
3.Berkhidmat ke kawasan daerah maksimum 2 tahun terutama ke klinik kesihatan dekat dengan kampung halaman sebelum menyambung pelajaran ke peringkat seterusnya.
4.Membuat permohonan ke Hospital Kuala Pilah untuk ke bidang kanak-kanak.


Paling ketara pilihan yang saya ada setelah beberapa kali 'saringan'; tinggal hanya 2 pilihan:pilihan no 2 dan 3: SLAB PROGRAMME atau DISTIRCT.


Sesuatu yang sukar sebenarnya,kerana kita memilih sesuatu yang menentukan sebahagian besar kepada kesan kehidupan akan datang.

Istikarah-suatu pilihan terbaik-sandaran yang saya yakini untuk tidak menyesal akan keputusan yang terhasil atas istikarah-kerana sandarannya pada sesuatu yang sangat kukuh dan Maha Besar;-DIA YANG MAHA MENGETAHUI lagi MAHA MENGASIHANI..

..................

" Dr, kena ke Hospital Tampin juga; rayuan ke Klinik Kesihatan ditolak atas sebab perkhidmatan", jawapan yang saya terima pagi itu ketika bertandang ke Pejabat Kesihatan Daerah.

Jawapan berisiko besar termaktub juga..

Hati mudah menerimanya walau itu bukan seperti yang dirancang dan diharapkan..namun; tiada rasa resah atau gelisah.

Ada rasa tenang di situ.

Ibu mendoakan saya ketika menunaikan umrah di Makkah supaya rayuan saya untuk ditugaskan ke klinik kesihatan diterima; tetapi, Allah memberikan saya sebaliknya.

Ibu sayangkan saya, tetapi Allah Maha Menyayangi diri saya; lebih dari ibu yang melahirkan saya-pasti, pemberian Allahlah itulah yang terbaik.

Bukahkan begitu?

.......................

Saya yakin dengan keputusan Allah ini.

Pasti ada sesuatu hikmah yang tersembunyi disebalik sesuatu yang berlaku.

Saya sangat positif; bahawa Allah sedang merancang sesuatu yang tak terjangka buat diri saya-sesuatu yang sangat baik sekali;pastinya, Allah mahukan yang terbaik buat diri ini.Segala yang baik itu datangnya dari Allah; dan yang buruk itu pastinya atas kelemahan dan kelalaian diri sendiri jua.

Allahuakbar.

Ianya sungguh memberi motivasi pada diri, membuat diri ini berasa yakin walau penuh gementar tapi penuh dengan rasa tawakal yang amat padaNYA.

Sungguh, DIA tidak pernah menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia.

Wednesday, July 7, 2010

Kasihanilah dia Ya ALLAH..



syahdu!

penuh dengan rasa keinsafan..

terasa ya Allah betapa daifnya diri..

......

Ala Dara menelefon lagi malam ni-kali ni untuk mencabut saluran intravena yang kupasang pada pakcik Hamid sejak 2 hari yang lepas.Sudah cukup 3 pint normal saline seperti yang kurancangkan.

Pakcik Hamid suami kepada ala Dara-ibu saudaraku yang merupakan sepupu pada ibuku.Memang dalam keluarga kami memanggil makcik sebagai ala dan pakcik sebagai ami. Sebelah ibuku campuran Arab, datuk dan adik-beradiknya berasal dari Masjidilharam berhijrah berdagang dan menetap di Malaysia.Nenek sebelah ibuku juga berketurunan Arab.

Pakcik Hamid sudah hampir 10 tahun menghidap penyakit Parkinson Disease.Sejak setahun kebelakangan ni penyakitnya makin melarat.Menurut ala Dara 2-3 bulan kebelakangan ini pakcik Hamid kelihatan uzur benar. Dah sejak 2-3 hari yang lalu tidak dapat makan dan minum dengan sempurna.Sekadar 'sip of water' sedikit demi sedikit. PAkcik Hamid agak sukar untuk menelan.

Pakcik Hamid enggan ke hospital.Hanya dengan memasukkan sedikit air garam yang dapat kubantu. Kemungkinan esok tiub saluran terpaksa kumasukkan ke melalui rongga hidungnya.Masih ingin cuba memberi makanan dan minuman secara biasa.


SUAMI YANG SOLEH

Tatkala kualihkan tangannya, jari jemarinya tidak lepas dengan butir-butir tasbih.Bukan pegangan seperti seorang yang biasa, tetapi sedikit-sedikit;seperti seorang pesakit Parkinson.Terus-terusan,tak pernah putus.Tidak pernah berhenti.

"Ala, pakcik Hamid sembahyang?"

Uzur benar aku melihat keadaannya.Sangat uzur. Nampak segala otot-otot dengan jelas.Semua jenis anatomi otot yang pernah kuhafal dan pelajari dahulu sangat jelas kelihatan.Kurus benar dia.

"Dalam 2 hari ni dia sahaja dia tak sembahyang"

Aku yakin, Pakcik Hamid pasti tetap dengan solatnya-walau dalam keadaan terbaring dengan badan yang keras dan mulut yang terkunci rapi.

Pakcik Hamid yang kukenal tidak pernah meninggalkan solatnya.Seringkali setiap kali aku kerumahnya pasti aku melihat dia solat dengan payah walau dalam keadaan merangkak sekalipun dia pasti menunaikannya.Dahulu, dia masih boleh berjalan sedikit demi sedikit dengan bantuan ala Dara dan juga bantuan alat 'walker'.

Kagum kulihat ala Dara memapah Pakcik Hamid ke bilik air setiap kali mengambil air solat. Lagi kagum apabila saat dia menunaikan solat walau dalam kepayahan.

"Mas,selama sepuluh tahun sakit ni dia tak pernah tinggal solat.Puasa bulan Ramdhan dan puasa 6 tak pernah tinggal.Ala tak pernah dengar dia mengeluh atau marah-marah.Kalau dia sakit hanya, " Ya Allah, Ya Allah " yang dia sebut.Penyabar orangnya, Mas.Tak pernah pun marah-marah."

MasyaAllah, kagumnya aku, Puasa sunat tidak pernah tinggal walaupun sakit apatah lagi solat. MasyaAllah.Tangan masih bertasbih berzikir memujiNYA walau dalam keadaan terlantar dan terbaring sebegitu rupa!

......................

MasyaAllah.

Adakah kita mampu sedemikian rupa?

Hanya Allah sahaja tahu.

Tapi betapa ramai, saat diuji mudah 'patah' di pertengahan jalan.Bertanya kenapa aku diuji sebegini? Sedangkan tempoh yang diuji hanya sementara dan seketika cuma?


Betapa ramai juga yang menghentikan segala doa dan harapan malah melancarkan 'serangan dosa' seolah-olah melancarkan 'mogok'(Nau'zubillah) pada Tuhannya semata-mata kerana datangnya ujian yang tetap tidak mahu berhenti?

Mampukah kita menambah puji padaNYA saat kita diuji?

Dan terus-terusan menunaikan tanggungjawab sebagai hambaNya walau dalam keadaan macam manapun diri kita?

Tepuk dada, tanyalah iman.
.............

Ya Allah, jadikanlah aku dikalangan hambaMU yang terpilih.

Jadikan dia, pakcikku dikalangan orang yang Engkau redhai.

Amin.

Allah tidak pernah meninggalkan kamu..



Ya..Allah sama sekali tidak pernah meninggalkan kita..diriku dan dirimu..sama sekali tidak..

Tetapi, kitalah yang selalu terleka, masih LUPA DIRI akan hamba.

Siapapun kita, sebesar manapun taraf hidup kita-kita masih lagi seorang; HAMBA.

.........................................


Hari terakhir di rumah.Hari terakhir juga sebagai seorang doktor pelatih(yang sedang bercuti).Esok merupakan hari pertama dalam kehidupan bergelar seorang pegawai perubatan.

Perasaannya?

Macam-macam ada.

Takuuut.
Gementar.

Tapi dalam gementar dan ketakutan itu ada perasaan LEGA
-Lega kerana dapat menamatkan tempoh 2 tahun sebagai seorang doktor pelatih.Tak tersangka.Allah masih memanjangkan umurku ini..

Kenapa ya aku berkata begitu?

Kerana, ada antara sahabatku yang tidak sempat menjalani tempoh 'housemanship'nya selepas tamat tempoh pengajian.-Berita duka aku dan rakan sepengajian yang lain terima sewaktu hari pertama kami mendaftar di Kem Biro Tatanegara bahawa seorang rakan seperjuangan kami meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya-dalam perjalanan ke tempat kami berada ketika itu!

Dan kerana juga,

Salah seorang rakan sekerja yang sama-sama menjalani 'housemanship' tempat aku bekerja juga kembali ke hadratNYA ketika masuk tahun kedua kami di HTJS-akibat batuk kering dan komplikasi ubat.

Allahuakbar..

Tidakkah itu cukup sebagai peringatan buat diriku dan dirimu?


...........................



Allah semestinya tahu apa yang terbaik buat hambaNYA.

Saya sangat positif tentang itu.

Cuma, terkilan, kerana diri masih lagi JAUH dariNYA-masih kurang bersyukur.

Berdosanya diri.

Bukankah, rasa syukur itu sendiri juga adalah NIKMAT dariNYA?



Ya Allah,
ajarilah aku
temanilah aku
kasihananilah aku
lindungilah aku
sayangilah aku

dan

ampunilah aku-

dengan kasih sayang dan rahmatMU yang Maha Luas..

Monday, July 5, 2010

pahit manis seorang houseman..


Macam mana nak mula menulis ni?

Lama dah tak menulis..rasanya macam tulis blog ni macam syok sendiri pulak.So, bila tgh tak syok, taklah tulis..Tgh syok2, mood ada mailah tulis.

Agaknya begitulah kot..

Hmm.Alhamdulillah, panjang juga umur ni untuk menamatkan tempoh 'haousemanship' yang pejam celik pejam celik dah habis 2 tahun..Macam baru jer tamat peperiksaan tahun akhir. tiba-tiba dah naik pangkat jadi mo pulak...Tup2, dapat dekat dgn umah-jalan kaki pun sampai.

Adalah hikmahNya.Paling penting,Allah beri hidayah dan kebaikan untuk memudahkan niat untuk tinggal dan menjaga ibu tercinta(dalam hati, takut sangat tup tup mak yang jaga, sebab duk kat spital nih oncall manjang..jauhkanlah..)

...........

PENGALAMAN PALING MANIS


Apakah pengalaman paling manis itu?

Hmm.Perasaaan yang sangat sukar digambarkan bila dapat menyelamatkan nyawa seorsng insan itulah yang paling manis rasanya..

Hari terakhir saya bekerja sebagai seorang houseman bekerja shift pagi di zon merah(zon kritikal);

Seorang pakcik sebaya umur arwah ayah saya datang mengadu sesak nafas tiba-tiba.Cardiac Monitor dan ECG menunjukkan VT-ventricular Tachycardia. Dalam keadaan pakcik tersebut yang tidak stabil dan ECG yang ditunjukkan, keputusan yang bermain di minda saya adalah memberi rawatan Synchronized Electrical Cardioversion(macam dalam TV tu yang bagi electrical shock kat dada pesakit).Pakcik masih boleh bercakap walau dalam keadaan tercungap-cungap.MO mengarahkan pada saya untuk memberi rawatan IV Amiodarone 150mg bolus dahulu.Setelah 2 kali dos Amiodarone diberikan ,tiada sebarang perubahan pada cardiac monitor.Tetiba ..

Tetiba pakcik berpeluh dan seluruh tubuh badannya menjadi sejuk.ECG tidak menunjukkan sebarang serangan jantung. Masa inilah persediaaan untuk synchronized electrical cardioversion dijalankan, segala alat intubasi bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan.

Setelah diterangkan keperluan dan segala kemungkinan yang akan berlaku dengan prosedur tersebut, saya meminta pakcik India ini mengucap. -pakcik ini berbangsa India tetapi beragama Islam, masih bujang dan dijaga oleh jirannya yang beragama Hindu.

'Uncle, mengucap yer.Kami akan lakukan prosedur tersebut dalam masa secepat mungkin."

Jujurnya,saya kadang-kadang rasa serba salah untuk menyuruh pesakit mengucap-bukan apa, benda itu biasa tetapi bagi sesetengah pesakit jadi macam tak yakin pulak dengan prosedur, macam dia akan mati lepas tur. Entahlah.Selalunya saya akan cuba terangkan mengapa perlu mengucap, bukan untuk menakutkan sekadar mengingat Allah dan RasulNya.

Mujur, uncle mudah faham dan mengangguk.

Dengan yakinnya; 'I clear, u clear, everyone clear!!'-5OkJ tenaga direnjatkan pada dada pesakit..

Ecg berubah, nadi bergerak secara normal semula, dari 220 ke atas ke paras 70-90, tekanan darah juga normal.Tetapi pakcik ni tak sedarkan diri!

IV Flumazenil 0.5mg segera diberikan..tak juga sedar pakcik ni..

Sekali lagi pakcik dikejutkan, alhamdulillah..pakcik ini dah sedar semula..

Alhamdulillah, hanya dengan kuasa 50kJ, ritma jantung pakcik berjaya diselamatkan.SubhanaAllah,pakcik tidak berpeluh lagi, seluruh tubuh tidak lagi sejuk dan berubah seperti biasa..MasyaAllah.

Pakcik masih agak tercungap-cungap, alhamdulillah bacaan oksigen masih dalam keadaan yang baik dengan bantuan oksigen yang diberikan; setelah dapat 'green light' dari mo perubatan yang turun ke zon merah, pakcik tersebut terus dimasukkan ke wad.

Dr Mai, seorang lagi houseman yang bertugas dengan saya pagi itu, sempat lagi berkata;" Aku rasa patient kau tu sure collapse kat wad nanti, macam tak lama je tur"


.......


Petang itu, sehari selepas tamat tempoh bekerja di Jabatan Kecemasan dan Trauma HTJS, saya kembali seketika untuk menyerahkan log book dan hal-hal yang tertunggak. Minta maaf dengan semua orang dan staff-staff yang ada. Terasa sayu pula hati ini.Staff-staff di Jabatan Kecemasan agak rapat dan mesra antara satu sama lain walaupun berlainan jawatan dan status.Sempat juga melangkah ke tingkat 7 untuk bertemu dengan jururawat wad perubatan , niat untuk bertemu dengan SN Yana tidak kesampaian, terlintas di hati untuk bertanyakan khabar uncle tempoh hari..


Alhamdulillah, pakcik masih berada di katil wad.
Melihatkan kad perawatan pesakit tersebut;

Diagnosis: VT with decompensated CCF
No SOB-shortness of breath.Patient comfortable.Vital signs stable.
KIV discharge.

Allahuakhbar...

Perasaan yang sangat manis yang tidak dapat digambarkan..;)


PENGALAMAN PAHIT SEPAHIT-PAHITNYA..


Sebut sahaja pahit, ia menggambarkan saya sesuatu yang HITAM.
Sukar digambarkan,sukar juga untuk melupakan.

Sangatlah sukar untuk saya menceritakan, kerana yang pahit itu selalu yang paling tidak suka dikenang-kenangkan..

Kesimpulan yang pahit itu mudah bagi saya;-

Apabila pesakit saya mati tanpa sebab yang saya rasa patut.
Maksud saya, sesuatu yang boleh kita atasi tetapi mungkin kerana lambat mendapatkan rawatan dan perkara seumpamanya, maka menjadikannya sesuatu penyakit itu TIDAK dapat diatasi langsung.

Paling saya benci-DENGGI!

Saya sangat sedih melihatkan pesakit-pesakit muda saya yang mati akibat denggi.Paling menyedihkan seandainya seseorang itu sangat bernilai dan berharga kepada masyarakat, agama dan bangsa. Bagaimana saya kehilangan seorang dai'e yang meninggalkan seorang balu yang sedang mengandung menanti harinya dan 2 orang anaknya hanya akibat denggi-nyamuk seekor itu!Bagaimana saya kehilangan seorang anak muda berbangsa cina yang baru berusia 16 tahun mati akibat denggi ini..

Denggi umpama petaka bagi saya.Suatu bencana seperti bagai mengingatkan sesuatu pada kita semua. Maha Kuasanya ALLAH menjadikan ia sebegitu rupa sehingga sehebat mana pun setinggi mana pun tahap seorang doktor itu tidak mampu berbuat apa-apa apabila denggi sudah menyerang hingga ke tahap terakhirnya.

Betapa manusia itu tidak menilaiNYA?

AKHIRNYA..


Untuk saya, sahabat-sahabat tidak kira seorang doktor mahupun attendan, yang hampir setiap hari berdepan dengan kematian,-sungguh, kitalah yang akan paling MALU di hadapan Allah kelak seandainya masih LUPA akan mati itu..sedarlah, giliranmu pasti akan tiba kelak..

Monday, April 19, 2010

setelah sekian lama..



Salam perjuangan sahabat-sahabat sekalian..

Setelah sekian lama...akhirnya saya menulis kembali dalam laman blog yang telah lama saya 'abaikan' seketika ini..

Nak kata sibuk, jawapannya tidaklah sesibuk ketika di awal zaman tahun pertama bekerja.Pediaritk posting merupakan posting yang paling tidak sibuk jika dibandingkan dengan 6 posting yang lain Malah, saya amat meminati dan menikmatinya(Kini saya sudah hampir dua bulan berada di posting terakhir;-Kecemasan dan Trauma)Cuma,ketika itu DAN KINI saya sudah sampai ke fasa terakhir dan kiranya cukup 'kritikal' dalam perjalanan hidup sebagai doktor pelatih.

Mencecah posting kedua terakhir merupakan tempoh masa penting untuk memikirkan dan menentukan arah masa depan selepas ini.Ke mana perjalanan seterusnya.Umpama sebuah perjalanan yang menemui simpangnya.Ke arah mana pula selepas ini, simpang yang mana harus di pilih? Setiap simpang membawa kita ke arah perjalanan hidup yang berbeza-beza.Umpama kita sedang menaiki kenderaan dan kita pemandunya.Seharusnya, kita sebagai pemandu telah menetapkan arah matlamat perjalanan ini.Cuma mungkin dalam perjalanan pengalaman berada di setiap posting seumpama sebuah stesen persinggahan yang memberi persepsi dan 'klu' tersendiri yang boleh membuat kita mengubah arah perjalanan di simpang terakhir nanti-mungkin dari segi PERANAN yang BERBEZA tetapi masih tetap MEMBERI SUMBANGAN dalam BIDANG yang SAMA dengan MATLAMAT asas yang TETAP tidak berubah;as an officer of Allah.

Sebuah perjalanan melibatkan jarak dan masa perjalanan.Dalam tempoh masa itu mematangkan kita dan menampakkan kita apa yang kita mahu dalam hidup ini.Saya merasakan kita hanya akan tahu APA yang kita MAHU seandainya KITA TAHU DIRI kita- kekuatan dan kelebihan diri tapi yang paling penting adalah KELEMAHAN kita. Mampukah jalan yang kita pilih mengatasi kelemahan yang ada dan memaksimakan sepenuhnya kelebihan dan keupayaan diri?

Hidup bukan hanya kerjaya semata-mata.Bangun pagi, makanan dan tidur dan kerja lagi keesokannya.Ketahuilah,ada jiwa yang perlu diisi, ada hati yang perlu digilap agar terus bersinar. Ada rohani yang memerlukan makanannya.Jangan sampai dunia yang kita kejar hanya semata-mata untuk perut dan tubuh badan semata-mata tetapi hati mati kebuluran.Hati yang mati kita umpama mayat hidup yang bergerak!

Oleh itu, penting untuk mengenali kekuatan dan kelemahan diri agar cahaya di hati terus bersinar di sepanjang perjalanan di setiap persimpangan hidup yang akan kita pilih nanti.

Kesimpulan, Allah lah matlamat terakhir.Walau sememangnya kita bukanlah hamba yang baik apatah lagi yang terbaik, tapi sekurangnya biarlah hari-hari dalam hidup kita berusaha un tuk mencuba untuk menjadi yang baik.

Sungguh, akhir kehidupan kita nanti HANYA ALLAH yang TAHU.

Friday, January 29, 2010

semakin hampir..



Salam..

Lama sangat tidak menulis-paling lama..

Alhamdulillah Allah izinkan hati ini menulis lagi.

Hari ini genap 27 tahun umur saya berdasarkan pada tahun Masihi.

Terasa semakin dekat umur, semakin dekat dengan pertemuan denganNYA.

Tetapi masih jauh sangat ketinggalan mencapai titik terakhir dalam kehidupan ini.

Sangat jauh.Terlalu jauh.

Tidak tahu berapa lama lagi umur yang masih tinggal untuk mengejar, yang mungkin sudah separuh atau 3/4 atau hanya setakat ini sahaja?

Hidup ini hanyalah satu titik permulaan daripada satu garis yang panjang, namun ia adalah penentu kepada kehidupan seterusnya.

Satu titik penentu kepada penghujung jalan.

Ya Allah.

Sungguh, masa tidak banyak, tidak tahu berapa banyak lagi yang tinggal tapi masih juga melepaskan masa-masa emas-dengan kepenatan, keletihan dan tekanan tempat kerja.Mungkin marah, memikirkan tentang perbuatan orang lain terhadap diri dan sebagainya sedangkan tiada masa untuk semua itu!


Diri ini, terlalu kecil untuk dipandangNYA berbanding jutaan, bilion umat manusia yang lain di muka bumi ini.Bahkan hilang dari pandanganNYA, tidak wujud-terlalu kecil.Umpama sebilah dari sayap nyamuk.

Terlalulah tiada apa-apa disisiNYA melainkan mereka yang diberi keutamaan-golongan yang diredhai Allah.

Sedarkah diri?


Adakah hidup 27 tahun juga bermakna 27 tahun diri telah berusaha, beribadah padaNYA?

Atau hanya...yang sangat sangat jauh dari itu!

Sempatkah diri mengejar dan terus mengejar sedangkan tempoh masa yang ada hanya setakat ini?

Diri penuh dengan dosa masih jahil tentang ilmu sangat ketinggalan dalam ibadah.

Layakkah menjadi ahli syurgaNYA , bertemu denganNYA?

Sedangkan waktu itu semakin menghampiri..