Wednesday, June 24, 2009

Sukarnya menjadi seorang doktor yang muslim..




Salam perjuangan..

RASA YANG 'MATI'

Lama sudah saya tidak menulis..bukan kerana masalah teknikal, tapi hati ni rasa 'malas' nak menulis..tiada 'rasa' untuk menulis walau banyak yang ingin dikongsikan..kadang-kadang rasa bersalah pada diri sendiri juga sebab menulis merupakan salah satu dari minat saya dan medium untuk saya berdakwah-walaupun sedikit.Sebenarnya saya ada menulis sedikit demi sedikit di dalam blog ini dan menyimpannya di dalam draf untuk saya menulis di kemudian hari.Saya akan berhenti menulis ketika hati sudah kematian rasa.Memang susah untuk menulis.Tidak semudah A to Z. Kalau ingin bercerita tentang diri sendiri dan perjalanan hidup memang mudah.Tapi itu bukanlah matlamat saya membuat blog ini. Bukan untuk bercerita tentang diri sendiri tetapi pengalaman diri yang sedikit sebanyak dapat diambil pengajaran oleh semua yang membacanya-yang mungkin tidak dapat saya sampaikan secara lisan dan penuh terbuka ketika saya sedang berkerja.Mungkin dengan penulisan yang sedikit ini dapat membantu saya untuk berusaha menjadi seorang doktor yang turut berusaha untuk berdakwah-ameen



MUHASABAH DIRI..


Kebelakakangan ini saya kembali menemui perkataan MUHASABAH-yang sering kali diingatkan sesama sahabat sewaktu di universiti dulu. Mungkin pembaca hairan,kenapa sebegitu?


Sukar untuk saya menjawabnya. Dalam diam saya baru tersedar memang benar pesanan senior-senior saya dahulu yang sering mengingatkan tentang keciciran yang mudah sewaktu alam pekerjaan. Memang benarlah manusia mudah lalai. Dan saya tidak terlepas dari kelemahan tersebut. Untuk kembali menulis di blog ini juga suatu mujahadah buat saya..


Sejujur-jujurnya, bukan mudah untuk menjadi seorang doktor yang muslim.


Ramai para doktor yang Islam tetapi sangat-sangat sedikit yang berjaya menunjukkan keperibadian muslim dan berdakwah sewaktu bekerja.Bukanlah dengan berpakaian dengan tudung labuh dan kopiah ke tempat kerja sudah cukup untuk melambangkan keperibadian seorang doktor muslim.Doktor muslim yang saya maksudkan ialah yang mampu menunjukkan KPERIBADIAN MUSLIM dan MENGAJAK pesakit kembali kepada Islam -yang ini amat payah.Percayalah..praktikal tidak semudah teori.


Setelah saya bekerja di hospital barulah saya faham kenapa kebanyakan staf-staf di hospital sukar untuk memberi kepuasan kepada semua pesakit. Untuk senyum, mungkin kadang-kadang. Untuk melayani segala kerenah dan permintaan pesakit dalam masa itu juga-mustahil!-kecuali yang benar-benar dalam kecemasan.



Bagaimana mahu melayan atau menyampaikan di ketika yang sama kerja untuk 3 orang sekurangnya harus ditangani oleh seorang sahaja? Kami para doktor pula bekerja dengan urusan-urusan berkaitan dengan kesihatan pesakit-Jika di wad-darah, urusan scan yang urgent dan maklumat pesakit yang perlu di trace entah di jabatan mana pada masa yang sama menyiapkan discharge pesakit -itupun entah berapa banyak pesakit/ keluarga pesakit yang mengamuk sebab urusan discharge yang lambat akibat kekurangan kakitangan.Itupun kebanyakan kami skip waktu makan tengahari kami.




Di klinik pula-beratus pesakit menunggu giliran.Sebolehnya ingin menguruskan setiap pesakit dengan cepat agar tidak lama pesakit menunggu.Kalau melayan terlalu lama -segala luahan peribadi pesakit yang entah kemana (kebanyakan kami cuba mengelak sebolehnya untuk terus secara langsung kepada masalah kesihatan pesakit) bagaimana tentang ratusan pesakit yang lain yang sedang menunggu dan aduan tentang masa menunggu yang lama oleh pesakit-pesakit yang lain?



Memang tidak mudah memuaskan hati semua pihak..




PESAKIT DAN SOLAT


Sudah setahun saya berkerja dan menjalani latihan housemaship di hospital ini dan saya masih AMAT TERKILAN kerana masih tidak mampu ISTIQAMAH mengingatkan pesakit saya tentang SOLAT.


Inilah kelemahan saya yang TERBESAR.


Bukan mudah untuk menegur secara BERHIKMAH.


Saya berani katakan LEBIH 90% pesakit saya tidak solat.Jarang-jarang benar saya melihat yang solat apatah lagi menutup aurat di hadapan kalangan kakitangan hospital yang bukan muhrim.



Pesakit yang muda tidak sukar untuk saya kerana saya mampu berbicara dalam nada bergurau dan sebagai seorang kawan .Tetapi dengan yang lebih tua yang menjadi masalahnya..Tidak tahu bagaimana bermula. Sukar untuk membetulkan atau memberitau apatah lagi menjelaskan tentang isu mengQADAkan solat. Entahlah..Bantulah saya.



Teringat di suatu ketika dulu sewaktu saya belajar...



Saya jatuh simpati padanya seorang pesakit yang lumpuh terbaring di atas katil akibat TB Spine- Jangkitan TB pada tulang belakang yang boleh mengakibatkan lumpuh.



Dia berumur sekitar 40an, masih bujang dan bekerja sebagai penoreh getah.Ketika itu tiada siapa yang dapat menjaganya. Pesakit tinggal jauh nun di gua musang tidak silap. Hanya ada ayah dan ibu yang tua di rumah. Ketika itu dia sedang menunggu bantuan pengangkutan untuk menghantarnya pulang kerana tidak ada pengangkutan untuk mengambilnya juga tidak mampu membayar untuknya.


Pesakit nampak bengis kadang-kadang dan selalu bermuram. Tetapi, setiap yang melalui katilnya pasti akan jatuh simpati dengan keadaannya apatah lagi melihat pada kecacatan muka yang dimilikinya.



Atas simpati yang kuat saya memberanikan diri menghampiri dan menegurya. Entah macam mana saya boleh sampai untuk bertanya tentang solatnya.


"Pakcik nak solat?"saya mula bertanya.




Tiba-tiba dia menangis. Terkejut saya.Pada masa yang sama air mata turut bergenang dalam kelopak mata ini. Hati saya turut menangis, airmata yang mampu ditahan untuk menangis bersamanya!


"Pakcik kat rumah tidak pernah tinggal solat.Pakcik dah lama tak solat. Pakcik nak solat tapi tidak orang ajar dan bantu.."-seingatnya saya begitulah kata-katanya dalam nada teresak-esak.


Saya terkedu.


Untungnya HUSM hospital berkonsepkan ibadah. Ketika itu air dalam botol untuk spray ada berdekatan. Saya mengambilnya dan mengajarnya tentang cara-cara untuk berwudhu dalam keadaannya yang terlantar seperti itu. Saya membantu memercikkan air wudhuk di tempat-tempat yang tidak mampu dicapainya. Selepas dan semenjak itu saya melihat dia menunaikan solat dalam keadaan terbaring..



Hanya Allah yang tahu betapa hati saya menangis ketika pertama kali melihatnya solat.




Alhamdulillah, hari-hari berikutnya saya melihatnya masih menunaikan solat walaupun dalam keadaan terbaring dan agak ceria tidak seperti selalu.




Moga dia dalam lindungan dan rahmat kasih sayang Allah selalu.




MUJAHADAH DALAM BEKERJA



Bukan mudah untuk mencari teman sekerja yang SEFIKRAH apatah lagi yang SERASI.Sehingga kini, jujurnya saya masih belum temui. Sahabat-sahabat saya yang rapat kebanyakan terdiri dari luar tempat kerja-yang SEFIKRAH.




Alhamdullilah, dari segi pergaulan saya masih mampu mengawal diri dari melakukan tindakan yang luar batas dari kebiasaan saya sebagai muslimah. Itu yang mampu saya katakan.




Sepanjang bekerja Alhamdulillah, saya masih ada pendirian dalam pergaulan dan ketegasan dalam menjaga waktu solat. Pernah baru-baru ini seorang MO lelaki non muslim menghulurkan tangan secara terbuka dan 'bermakna' untuk bersalam dengan saya di hadapan pesakit dan doktor-doktor pelatih yang lain-alhamdulillah tiada rasa bersalah atau apa-apa rasa saya mampu menolak salamnya -"I'm a muslim woman"



Kebanyakan saya mempunyai ruang untuk menyampaikan Islam tapi kebanyakan peluang juga saya tidak mengunakan sepenuhnya walau saya antara yang aktif menganjurakan program-program dakwah untuk non muslim ketika di kampus malah membimbing 2 orang yang baru masuk islam ketika itu.Hanya sekadar yang mampu.




Jujurnya, saya merindui sangat dengan kelas-kelas perbandingan agama ini.Niat saya untuk menambahkan lagi iman dan memantapkan akidah diri sendiri dengan mempelajarinya.



Saya kematian idea untuk menyampaikan ketika di tempat kerja ketika sahabat non muslim saya menegur saya asyik-asyik sembahyang sahaja.Saya mampu mengatakan ianya wajib untuk saya laksanakan sebagai seorang muslim. Dan ada ketikanya saya bertanya juga tentang agama yang dianutinya, tetapi most of the time saya kekeringan idea untuk meneruskan bual bicara.



Pertemuan saya dengan Kak Mala sewaktu saya berada di posting perbidanan dan sakit puan sedikit sebanyak 'menampal' kelemahan yang saya dalam menyampaikan ilmu dakwah ini.



Alhamdulillah, saya bersyukur walaupun tidak banyak membantu tetapi sekurang-kurangnya Kak Mala telah menemui ramai orang dan pelbagai pertubuhan selepas saya. Sekurangnya-kurangnya Kak Mala merasai keseronokan menghadiri program dan majlis-majlis ilmu walau hingga kini saya masih terkilan kerana masih tidak berjaya mendapatkan pekerjaan yang stabil dan tetap untuknya. Tetapi alhamdulillah, ayahnya yang kini masih beragama Hindu makin menunjukkan minat dengan Islam dan parti ISLAM. Paling terharu, amat-amat apabila ayahnya dengan bangga mengatakan this biscuits is from my daughter-anak perempuan saya yang bagi di hadapan cucunya ketika saya kebetulan membelikannya biskut pada Hari Bapa-kerana saya tidak mempunyai ayah lagi untuk memberikan apa-apa kecuali doa yang berpanjangan untuknya..




Untuk DIRI, adik-adik dan sahabat semua..



Untuk diri saya..
BANYAK sangat kelemahan dalam diri ini yang harus diperbaiki. Saya masih belum lagi layak untuk menjadi seorang dokor muslim yang sejati..masih belum lagi..bantulah saya untuk merealisasikannya.Saya amat mengharapkan cadangan dan sokongan daripada teman-teman semua.
Semoga Allah bantu saya untuk IKHLAS dan TULUS berada dalam bidang ini.


Untuk adik-adik,

Cubalah mulakan dari sekarang untuk mengasah diri bukan sahaja menjadi seorang doktor yang ISLAM tetapi juga MUSLIM dari segi perilaku dan MAMPU MENGAJAK ke arah kebaikan.


Bermujahadalah dalam mencari teman yang SEFIKRAH dan sebolehnya yang SERASI sewaktu di alam pekerjaan. Sungguh, teman-teman itulah yang membantu kita untuk MUJAHADAH.Luangkanlah masamu dengan mereka walau engkau memang sedia sudah sibuk dengan tugas-tugasmu di tempat kerja.Itulah PENGUAT dirimu dalam perjuangan.





Untuk sahabat,


Sama-sama kita mengingatkan diri agar diri tidak lalai dan terpesona dengan nikmat dunia dan kekayaan harta benda juga dengan suami/isteri/anak-anak/ keluarga.


Moga AllAH dan Rasul lebih dicintai dari yang lain dan cintailah dan bencilah sesuatu itu hanya kerana Allah dan RasulNYA.





























































































































































































No comments:

Post a Comment